Wednesday, November 29, 2006

Respons dari DOWNSTAGELEFT

Maklum balas yang mencurah-curah terhadap inisiatif segolongan mahasiswa NUS yang mementaskan ' melayu.com.sg' sememangnya amat menggalakkan. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa maklum balas yang walaupun berniat baik, telah tersasar dari tujuan asalnya kerana kurangnya penelitian yang terperinci.

Dalam usaha mereka untuk mewarisi tampuk pemerintahan di dalam masyarakat, golongan muda amat memerlukan sokongan padu dan bimbingan daripada mereka yang telah lama menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan jauh lebih berpengalaman di dalam perlaksanaan sesuatu inisiatif; ringkasnya: warga veteran.

Amatlah menyedihkan jika fokus utama perbincangan lebih tertumpu kepada poster pementasan 'melayu.com.sg' dan bukan pementasan itu sendiri. Bahkan, tanggapan yang dibuat mengenai pementasan tersebut dibuat tanpa pemberi maklum balas itu sendiri menghadiri pementasan tersebut. Malahan, pihak pengurusan Espalanade dan juga DOWNSTAGELEFT sendiri telah mengadakan sesi soal jawab dan maklum balas sesudah persembahan tersebut bagi menjawab pertanyaan dan juga menerima saranan/kritikan dari penonton sendiri.

Sayangnya, peluang ini tidak dimanfaatkan oleh pihak-pihak tertentu yang lebih selesa membuat tanggapan yang melulu.

Sesuatu ide mahupun mesej di dalam sesebuah pementasan tidak terbatas hanya kepada sebuah poster. Jika keberkesanan sesuatu pementasan hanya dinilai berdasarkan sebuah poster semata, maka mereka yang berkecimpung di dalam bidang seni pementasan hanya perlu menumpukan daya minda mereka hanya kepada rekaan poster tanpa perlu menghabiskan wang, tenaga dan masa untuk menyiapkan sebuah pementasan yang bermutu.

Sokongan dan galakan juga perlu diberikan kepada generasi muda yang mahu mendatangkan suatu perubahan yang positif dan tidak menjadi golongan yang pasif semata. Jika sesuatu cetusan idea diremehkan melalui tanggapan semata, di manakah letaknya ruang bagi menjana minda yang progresif? Bagaimanakah dapat kita menyahut cabaran Perdana Menteri kita yang inginkan lebih ramai belia melibatkan diri di dalam hal ehwal kemasyarakatan dan menerajui kepimpinan masyarakat jika masih wujud sikap suka memperlekehkan usaha di kalangan masyarakat kita ini.

Objektif utama 'melayu.com.sg' adalah untuk mengkaji soal identiti Melayu dengan suatu kajian yang tidak terikat mahupun tertakluk kepada pegangan agama kita. DOWNSTAGELEFT dan panel skrip bagi pementasan tersebut ingin mengupas isu-isu yang berkaitan dengan identiti Melayu berdasarkan watak-watak yang wujud dan bukan direka seperti watak seorang wanita yang mengamalkan hubungan sejenis (lesbian), seorang tua yang menghabiskan kebanyakan masanya di masjid dan juga seorang ibu tunggal. Nilai-nilai yang dipegang oleh watak-watak ini akan mengetengahkan kepada penonton betapa nilai-nilai tersebut menyumbang kepada identiti Melayu itu sendiri.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa seringkali perkataan Melayu dikaitkan dengan istilah Muslim namun sepertimana yang tertera di atas, ' melayu.com.sg' cuba menangani isu identiti ini dari aspek kemanusiaan, tanpa tertakluk kepada nilai-nilai keagamaan dan apa juapun nilai pegangan kita semata-mata.

Saya bersetuju dengan Puan Asmidar yang istilah "Melayu" mencernakan keindahan, kelembutan, kecantikan dan ini amat bersesuaian dengan orang Melayu itu sendiri. Namum di dalam menegakkan nilai yang ideal ini, perlukah kita membelakangkan realiti sebenar masyarakat kita. Adakah kita mengetepikan ibu-ibu tunggal yang terlanjur dan membiarkan remaja-remaja kita hidup dengan label "Hanyut" sedangkan inilah realiti masyarakat kita kita sebagaimana yang diketengahkan oleh Encik Alami Musa di dalam sesi dialog dengan mahasiswa Melayu Islam di NUS baru-baru ini? Beliau menekankan hakikat ini agar usaha kita untuk menjadi suatu masyarakat yang inklusif tidak perlu mengetepikan sebarang individu pun. Dasar inilah yang mendorong tercetusnya idea bagi ' melayu.com.sg'. Penyelidikan dan temubual telah dilakukan oleh pihak penulis dan pelakon bagi memahami dan mendalami watak-watak ini bagi melicinkan proses penyampaian mesej kepada para penonton. Proses ini diberikan penelitian yang amat teliti di dalam rangka membina suatu masyarakat yang progresif tanpa mengetepikan sebarang individupun.

Bahkan, selain daripada terhibur, terdapat sebilangan besar daripada penonton yang meninggalkan Esplanade pada hari pementasan tersebut dengan suatu kesedaran tentang perlunya mereka melakarkan sesuatu untuk mengubah dan memperbaiki keadaan masyarakat. Tidak kurang pula bilangan penonton dari kalangan "emas" kita yang menyanjung usaha DOWNSTAGELEFT untuk menganalisa watak-watak yang selama ini dibiarkan membisu dan menderita di dalam kesibukan kita membina masyarakat "cantik."

Pihak DOWNSTAGELEFT akan tetap menggunakan pendekatan pementasan bagi mengetengahkan isu dan realiti masyarakat kita. Pendekatan ini, beserta dengan usaha-usaha persatuan-persatuan, badan-badan dan individu-individu yang lain diharapkan dapat menyumbang kepada tercetusnya suatu masyarakat yang bukan sahaja menyedari akan nilai-nilai bangsanya yang ideal, namun juga menerima dengan hati yang terbuka akan realiti sebenar masyarakat kita.

DOWNSTAGELEFT masih muda dan perjuangan kami masih jauh. Oleh itu kami menerima sebarang teguran dan kritikan dari mana-mana pihak. Namun, amatlah diharapkan agar teguran yang diberi biarlah adil, bernas dan mengemukakan alternatif yang konstruktif tanpa perlu merendah-rendahkan daya usaha kami.

Sebelum saya akhiri, ingin juga saya jelaskan bahawa DOWNSTAGELEFT adalah kumpulan teater yang berdiri sendiri tanpa sembarang kaitan bersama Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). DOWNSTAGELEFT ditubuhkan awal tahun 2006 dan dianggotai oleh mahasiswa-mahasiswa yang bukan sahaja dari Universiti Kebangsaan Singapura ataupun yang berbangsa Melayu sahaja.

Semoga Allah meredhai setiap sumbangan kita terhadap kemaslahatan masyarakat khususnya dan sekaligus umat manusia amnya.

Yang benar,
Fezhah Maznan
Pengarah Artistik
DOWNSTAGELEFT

H/P: 91990977
E-mel: downstageleft@gmail.com

No comments: